Wednesday, September 14, 2011

Polemik Tragedi Bukit Kepong – Kembalilah Kepada Agenda Islam

Mat Sabu terus diserang dalam polemik Bukit Kepong. Segala jenis media UMNO terus dipergunakan untuk memainkan isu ini untuk meraih populariti di hati rakyat dengan berlagak sebagai hero. Namun begitu, sejauh manapun isu ini terus dipermainkan, ia langsung tidak memberi kebaikan kepada umat Islam. Dalam tragedi Bukit Kepong, balai polis telah diserang oleh pihak komunis. Ini merupakan satu fakta yang tidak boleh disangkal. Tapi, mengapa dalam keghairahan para pemerintah memaki hamun pihak komunis, dalam masa yang sama mereka terus menatang ideologi kapitalis yang diwarisi dari penjajah? Apakah ideologi kapitalis itu mulia dan ideologi komunis itu hina dan berbahaya?

Dalam tragedi Bukit Kepong, kita dapati dua pihak yang bertelagah, iaitu polis di pihak British (kapitalis) bertembung dengan Parti Komunis Malaya. Pertembungan dua ideologi ini merupakan suatu yang alami kerana hakikatnya, dua ideologi ini bertentangan di antara satu sama lain. Yang jelas, kapitalis mahupun komunis, kedua-duanya merupakan malapetaka bagi umat Islam. Ini kerana, ideologi yang lahir daripada akal manusia ini adalah penuh dengan kerosakan dan kehancuran. Malahan, kehancuran dunia yang boleh kita lihat pada masa ini adalah kesan daripada penerapan kedua- dua ideologi ini di dalam kehidupan umat. Yang pasti, pihak yang diserang, mahupun pihak yang menyerang, kedua- duanya tidak membawa agenda Islam. Lebih keji lagi, sekiranya segala polemik ini sengaja dipermainkan untuk meraih undi pilihanraya.

Wahai kaum Muslimin! Janganlah kalian tertipu dengan permainan pemerintah yang berhati busuk! Bagi mereka yang menyatakan mereka adalah pejuang Islam, kembalilah ke pangkal jalan. Usahlah sejarah hitam itu pula yang menjadi sandaran, tetapi jadikanlah perjuangan Rasulullah S.A.W sebagai ikutan. Perjuangan Rasulullah S.A.W menentang kaum musyrikin serta membawa sinar Islam ke seluruh jazirah Arab sepatutnya menjadi ikutan, tauladan serta perjuangan. Jadikanlah pejuangan Rasulullah S.A.W membawa agenda Islam sebagai suri tauladan, dan bukannya perjuangan menatang ideologi kapitalis, mahupun komunis sebagai ikutan. Wallahu a’lam.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More